Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Ramai
sahabat bertanya kepada saya bagaimana perhimpunan tadi. Banyak kisah
gembira dan mendukacitakan dihebahkan melalui media dan laman FB. Saya
cuba untuk menulis berdasarkan pengalaman saya di lokasi Masjid Jamek
dari jam 11 pagi ke 5 petang. InsyaAllah saya akan cuba untuk memberikan
padangan dari semua segi agar adil buat semua pembaca nota ini.
Ini
adalah pertama kali saya turun dalam demostrasi di Malaysia. Saya
pernah ada pengalaman turun dalam beberapa siri demostrasi di Ireland
termasuk BERSIH 2.0, demonstrasi menentang 'occupation of Gaza' dan
penindasan rakyat Syria. Kali ini saya turun sebagai sukarelawan pegawai
perubatan yang mempunyai misi membantu mana-mana insan yang memerlukan
bantuan tak kira bangsa, agama, umur mahupun peserta ataupun polis
sendiri. Kami berpakaian biasa dengan ves berwarna hijau dengan tulisan
Medical Team yang cukup mudah dikenali awam.
Saya
dan isteri tiba dalam pukul 11 pagi di Stesen Putra Masjid Jamek. Ramai
polis kelihatan mengawasi stesen berkenaan. Polis tidak menghalang atau
melakukan sebarang tindakan provokasi terhadap orang awam yang turun
walaupun ramai yang jelas memakai baju BERSIH. Apabila kami keluar dari
stesen berkenaan, kami disapa oleh seorang mak cik lingkungan 40-an yang
mengatakan bahawa nampaknya perhimpunan kali jauh lebih aman berbanding
BERSIH 2.0 dengan kerjasama yang sangat baik dari pihak polis.
Kami
menuju ke Masjid India di mana kumpulan kami diminta berkumpul untuk
sesi 'briefing'. Masa menunggu kawan-kawan yang lain digunakan mengambil
gambar, beramah mesra dengan kawan-kawan yang hadir, membeli air di
gerai yang tak putus-putus dengan pembeli. Kumpulan yang berada di
persekitaran Masjid India saya boleh katakan semudahnya mencecah 2000
orang minimum dalam keadaan kawasan berkenaan tidaklah begitu besar.
Kelihatan mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik lingkungan umur 60 - 70
yang turut sama hadir. Kagum! Ada juga anak-anak kecil yang dibawa oleh
ibu dan bapa. Suasana meriah seperti ada sambutan besar sedang
berlangsung.
Setelah solat zuhur di Masjid India, kelihatan Dr Dzulkilfi Ahmad,
AJK PAS Pusat telah tiba dan bermulalah sesi ucapan ringkas daripada
beliau diikuti oleh laungan BERSIH, takbir dan sebagainya. Ketika
kumpulan kami diminta bergerak ke kawasan berhadapan Stesen Putra Masjid
Jamek di mana ketua kumpulan kami sedang menunggu.
Subhanallah!
Kumpulan
yang agak kecil pada awal tadi telah bertambah bilangannya. Saya tidak
dapat mengagak bilangan yang hadir memandangkan tidak berada pada tempat
yang tinggi untuk melihat. Tapi sejujurnya, minimum 20,000 orang berada
di kawasan berkenaan. Kami mengambil masa yang sangat lama untuk tiba
di tempat berkenaan kerana perlu menempuhi lautan manusia.
Tiba
kami di tempat Medical Unit, saya berkenalan dengan doktor-doktor dan
pengamal perubatan yang ada. Kata mereka perhimpunan kali nampaknya jauh
lebih baik. Kami menunggu di sana hingga jam 3 petang tanpa ada apa-apa
masalah. Suasana cukup baik, selang seli dengan sorakan dari demonstran
yang hadir. Kelihatan beberapa figur berada di atas pentas, antaranya
Ambiga dan DSAI.
Tiba-tiba, kami melihat kumpulan
besar itu mula bergerak menjauhi arah Dataran Merdeka. Bau gas mula
terasa, kemudian disusuli rasa pedih di muka. Face mask dipakai dan
garam dikunyah. Seorang doktor kelihatan menyembur muka-muka demonstran
dengan air bercampur antasid untuk mengurangkan rasa sakit. Ada yang
berdarah di bahagian muka terkena canister daripada semuburan gas.
Seorang demostran menghampiri saya, katanya Unit Amal baru sahaja
menghebahkan agar demonstradi bersurai atas arahan pimpinan. Belum
sempat beredar, polis telahpun mula menyembur kumpulan demonstran dengan
air asid dan gas pemedih mata tanpa memberikan sebarang amaran.Kami
mula berjalan perlahan-lahan menjauhi kawasan yang disembur.
Tatkala
ramai yang sudah bergerak, kami ternampak seorang lelaki tua dalam
lingkungan umur 70 tahun sedang duduk kepenatan. Saya dan kawan-kawan
memimpin dia perlahan-lahan menjauhi kawasan semburan. Ada lagi beberapa
insiden di mana ada di kalangan peserta yang hadir pengsan, sesak
nafas, cederan bahagian kaki dan sebagainya. Setiap daripada mereka
dirawat sebaiknya dengan alatan perubatan yang ada.
Kami berjalan agak jauh daripada kawasan Masjid Jamek menjauhi asap
yang pedih itu. Kami sentiasa disapa dengan baik dengan senyuman
daripada peserta. Bajunya mungkin terlalu menawan =). Sampai di satu
tempat berdekatan dengan Menara Maybank, kami duduk berehat. Kelihatan
para peserta sudah berjalan menuju pelbagai arah, menandakan perhimpunan
hampir tamat.
Jam 430 petang, kami bergerak
semula ke arah Stesen Putra Masjid Jamek dengan tujuan mengambil tren
pulang ke rumah. Tiba-tiba kedengaran teriakan manusia dan kepulan asap.
Oh, masih belum tamat rupanya. Saya dimaklumkan provokasi berlaku
antara polis dan beberapa demonstran. Sesiapa yang memulakannya, saya
tidak pasti. Tapi saya tidak menolak kemungkinan bahawa ada demonstran
yang memulakan provokasi di samping tindakan polis yang tidak
henti-henti menyembur gas dan air asid.
Kami
berjalan ke arah bahagian hadapan kumpulan peserta itu melalui
jalan-jalan tepi sehingga masuk ke dalam Stesen Putra. Alhamdulillah
tiada apa-apa masalah. Kami menuju ke arah Masjid India untuk bertemu
dengan ahli keluarga yang lain, tiba-tiba disapa oleh seorang peserta
yang terkena canister pada badannya. Iodin disapu pada kawasan yang luka
dan diletakkan plaster. Tiada kecederaan serius insyaAllah.
Disebabkan
ahli keluarga telahpun bergerak pulang setelah lama menunggu kami tiba,
kami pun mengambil keputusan untuk terus mengambil tren pulang ke
rumah. Pegawai polis ramai berkeliaran dalam stesen berkenaan. Mereka
kelihatan bekerjasama dengan baik dengan peserta yang ada. Tiada
provokasi berlaku. Alhamdulillah. Kami akhirnya tiba di rumah hampir jam
6. Penat memang penat tapi saya tidak menafikan saya puas kerana dapat
hadir bersama ratusan ribu manusia membanjiri Bandaraya Kuala Lumpur
hari ini.
Saya agak kecewa kerana tidak dapat
memberikan rawatan kepada pihak polis dan FRU jika ada yang cedera.
Walaupun pandangan sisi politik kita berbeza, insyaAllah disiplin
profesionalime seorang doktor saya akan jaga sepenuhnya. Teringin untuk
bersama peserta melaung slogan-slogan tapi atas dasar profesionalisme,
Alhamdulillah saya dapat mengekalkan 'non-partisan' saya dalam himpunan
hari ini.
Pandang sisi saya :
1. Saya cukup kecewa kerana
demonstrasi ini tidak dibenarkan untuk masuk ke Dataran Merdeka. Bagi
saya, jika ia dihalalkan oleh pihak berkuasa, banyak perkara yang tidak
diingini tidak akan berlaku.
2. Sewajarnya pihak
berkuasa memberikan sahaja permit berkumpul dan bagi saya wajar
diletakkan syarat-syarat berdasarkan perbincangan dengan pihak
penganjur. Sebagaimana di luar negara, di samping anggota polis yang
cukup membantu, tanpa provokasi langsung, syarat-syarat seperti masa
yang dibenarkan untuk demonstrasi, tanggungjawab penganjur terhadap
apa-apa kesalahan peserta termasuk mengotorkan tempat dan sebagainya.
3.
Keadaan aman di lokasi-lokasi tadi menyebabkan saya hairan akan
keamanan perhimpunan hari ini sehinggalah polis mula menyembur gas dan
air asid. Bagi saya, walaupun perhimpunan kali masih dikategorikan
sebagai haram oleh pihak berkuasa, kalaulah polis meminta dengan baik
daripada pimpinan perhimpunan untuk bersurai, saya meyakini ia tidak
akan berakhir sedemikian rupa.
4. Apabila polis
mula menyembur air asid dan gas pemedih mata, bermula bibit-bibit
provokasi dan keganasan. Saya tidak menolak bahawa ada kemungkinan
demonstran yang terlibat dalam aksi keganasan ini mungkin diupah untuk
berbuat demikian untuk memburukkan keadaan namun saya juga tidak menolak
kemungkinan yang lebih besar iaitu ia memang aksi demonstran pro
BERSIH. Saya difahamkan ada dikalangan mereka yang tidak mahu menuruti
arahan pimpinan agar tidak terlibat dalam perihal berkenaan. Siapa
mereka? Wallahua'lam. Apa-apapun jika benar demonstran berkenaan
memulakan provokasi, pimpinan BERSIH wajar bertanggungjawab.
5.
Saya tidak boleh memberikan sebarang komen berkenaan beberapa insiden
yang berlaku di lokasi lain seperti insiden kereta polis merempuh
demonstran disusuli demonstran menterbalikkan kereta berkenaan. Komen
dalam poin ke-4 saya rasa boleh merumuskan pandangan saya. Yang bersalah
adalah bersalah, tidak kiralah dari kelompok mana. Dan janganlah
dituding kesalahan kepada ratusan ribuan yang lain yang datang dengan
cukup aman.
6. Saya tidak boleh menyimpan
rasa kecewa melihat kekotoran yang berlaku dalam perjalanan pulang saya
ke rumah, banyak botol-botol kosong yang berlemparan. Saya tidak tahu
samada mungkin selepas saya pulang akan ada kumpulan khas di bawah
BERSIH atau dari Unit Amal yang terkenal dengan disiplin yang baik, yang
akan melakukan pembersihan. Jika tiada, ia sesuatu yang perlu diambil
kira dalam mana-mana demonstrasi pada masa akan datang dan untuk kali
ini BERSIH wajar bertanggungjawab sepenuhnya.
7.
Bagi yang tidak bersetuju dengam BERSIH in the first place, saya boleh
katakan begini. Ramai antara mereka adalah golongan pro Parti Kerajaan
yang fanatik. Mereka sudah selesa dengan kehidupan di bawah pemerintahan
parti berkenaan. Mereka 'beriman' bahawa rezeki itu datang dari UMNO BN
dan rakyat perlu bersyukur dengan apa yang ada. Mereka kelihatan tidak
ambil peduli dengan kes-kes penindasan ke atas rakyat yang tidak bersama
parti pemerintah, mereka diugut, dipenjara, dipindahkan kerja serta
merta malah ada yang dibunuh seperti kes Memali. Tidak termasuk lagi
dengan corak pemerintahan yang tidak Islamik dengan kenyataan-kenyataan
menghina hukum Islam dan Ulama'. Bagi golongan ini, saya hanya mampu
berdo'a. Semoga Allah membuka hati mereka seluas-luas melihat kezaliman
demi kezaliman yang berlaku.
8. Suka saya
ingatkan para pembaca bahawa masalah-masalah yang berlaku dalam sistem
pilihanraya kita cukup membimbangkan termasuk dakwaan memberikan
kerakyatan sewenang-wenangnya, perpindahan tempat mengundi tanpa
pengetahuan pengundi, pengundi yang mustahil seperti orang yang sangat
tua, bilangan pengundi yg mustahil dalam satu-satu kediaman dan banyak
lagi. Baru-baru ini kita dikejutkan bahawa Pengerusi dan Timbalan
Pengerusi SPR adalah ahli UMNO. Tempangnya sistem pilihanraya kita!
9.
Ada di kalangan yang tidak bersetuju itu merasakan BERSIH 3.0 itu bukan
penyelesaian terbaik buat ketika ini. Pandangan ini mungkin betul,
mungkin tidak. Apa yang saya perhatikan, golongan ini banyaknya datang
dari kumpulan yang tidak langsung terlibat dalam menyelesaikan masalah
yang ada. Mereka ada di tebingan, memberikan pandangan dan kritikan.
Melihat kepada usaha yang telah dilakukan oleh pihak yang berkenaan
dalam menyelesaikan masalah ini dengan baik, saya berpandangan bahawa
parti pemerintah kelihatan tidak serius dalam menanganinya. Jelas,
tempangnya sistem pilihanraya akan memberikan kelebihan yang cukup
tinggi kepada mereka untuk terus berkuasa. Golongan 'amal' lebih tahu
selok belok bekerja daripada golongan 'pengkritik', begitulah dapat saya
simpulkan. Walau bagaimanapun, kritikan dari pihak luar bagi saya perlu
dialu-alukan untuk mematangkan segala bentuk keputusan.
10.
Ada di kalangan mereka yang tidak langsung ambil peduli. Mereka
mungkin pening dengan mainan politik yang sedang berlaku. Mereka hidup
untuk diri mereka dan keluarga mereka sahaja, makan, tidur, makan,
kerja, berhibur. Kitaran hidup tidak menggambarkan diri mereka mahu
melakukan sebarang perubahan pada masyarakat dan negara. Golongan ini
bagi saya, memang sungguh menguntungkan kerajaan yang memerintah.
Jikalau mereka mendaftar diri sebagai pengundi sekalipun, undi buat
parti pemerintah hampir pasti berlaku.
11.
Tuntutan BERSIH adalah wajar dan mustahak! Rakyat yang turun hari ini
adalah sebagai usaha kecil dalam mengembalikan negara kepada keadaan
yang lebih baik. Pemerintah mesti disedarkan bahawa rakyat marah dengan
kerosakan-kerosakan yang telah mereka lakukan. Jika dalam keadaan
perhimpunan ini sudah dari awal diharamkan, dan begini sokongan yang
datang, saya tidak boleh mengagak bagaimana jika ia dibenarkan. Kita
perlu ingat, masih ramai lagi di luar sana yang ingin hadir tapi tidak
berkesempatan, dan masih ramai yang menyokong tapi tidak cukup kuat
untuk turun bersama. Sesungguhnya, saya percaya jika pilihanraya kali
ini benar-benar bersih, parti pemerintah pasti akan tumbang!
12.
Saya mengimpikan sebuah negara yang mampu mewujudkan suasana yang lebih
baik pada masa akan datang, khasnya untuk generasi muda. Dan saya pasti
melihatkan prestasi kepimpinan negara, mereka gagal melaksanakan dengan
baik malah dalam perkara-perkara tertentu menjahanamkan kehidupan
rakyat. Semoga nukilan ini memberikan manfaat buat teman-teman yang
membaca.
Selamat malam buat teman di Malaysia.
28 April 2012
11 madah berhelah:
no comment, ed tk minat politik T.T
rietta xmnat politik gak...
hurm..tak tau nak komen apa.. hal2 politik ni sangat mengelirukan
Kadang2 kena fikir gak pasal politik sebab Malaysia negara kita.. Doa kan yang terbaik untuk negara Malaysia... Ur vote is crucial.. Kalau tak nak undi baik takyah jadi rakyat Malaysia betol dak? hihi..
semoga kata putus yg positif dpt dibuat lepas ni..
setiap org ada pendpt masing2..bahu yg memikul lebih berat dr yg mncdg..semoga kritikan dan pendpt semua dpt memajukan negara,dan bukan menambahkan lagi kepincangan..sama2 lah berfikir kehadapan n melakukan penambahbaikan,bukannya pembaharuan....
@SAYA BUKAN SAMDOL hihi xper ed. suzie pon xbrp reti nk komen. just amik tahu sahaja.
@HeNRieTTa JoSe hihi xpe
@AmirFX btoi tu, perlu amik tahu sbb kite rkyt mesia. yg sbg huru hara pon negara kite. act suzie xdftr ngundi g :)
@[sutera kasih] insyallah kn :)
@Putera insyallah. sama2 lah kite..
Post a Comment